Muamalah Syariah dengan dinar dan dirham
SIRI 1 : MENGEMBALIKAN MUAMALAH SYARIAH DENGAN PENGGUNAAN WANG DINAR EMAS DAN DIRHAM PERAK
( Penulis : Puan Hajjah Nik Mahani binti Mohamad FCCA (UK); Ahli Lembaga Pengarah Kelantan Golden Trade (M) Sdn Bhd )
Perpatah Melayu ada satu bidalan ‘alah bisa tinggal biasa’. Bidalan ini sangat tepat apabila kita mula menyedari betapa keadaan kita umat Nabi Muhammad SAW diabad ini telah menjadikan suatu kebiasaan menggunakan wang-wang kertas sebagai alat pertukaran tanpa terdetik dihati sanubari akan kejanggalan amalan kita selama ini! Betapa matahati serta akal kita tidak nampak dan sedar akan kepincangan amalan kita selama ini menggunakan sekeping kertas yang kita semua secara spontan menerima sebagai sesuatu yang ada nilai berdasarkan coretan angka dan chop serta gambar tertera diatasnya Yang Dipertuan Agung dan disebelahnya lambang serta gambar Bank Negara Malaysia! Tidak pernah ada rasa terbuku dihati sanubari untuk menyoal mengapa dan kenapa kita menukarkan barangan kita yang ada nilai sebenar dengan sekeping kertas yang tiada nilai sebenar .Apa dia maksud Ringgit sebenar nya ? Paling baik; bolehlah kita tafsirkan sebagai ianya merupakan catitan hutang yang dijamin oleh Bank Negara kita! Pun demikian sekiranya anda beranikan diri pergi menuntut hutang tersebut dibayar dengan sesuatu yang nilai setimpal dengan nilai hutang tersebut dari Bank Negara; saya percaya mereka sendiri pun akan terpinga-pinga untuk menunaikan hajat anda ! Nak dibayar hutang tersebut dengan apa ? emas? Ringgit tidak lagi ada sandaran dengan emas atau perak sejak tahun 1971! Bukan kah ini bererti Ringgit sebenarnya bukan catitan hutang yang dijamin oleh kerajaan atau Bank Negara atau oleh sesiapa pun!! Menyedari hakikat ini kita akan membuat suatu konklusi bahawa adalah sangat tidak adil dan melanggar kebebasan kemaanusian apabila rakyat Malaysia dipaksa menerima penggunaan Ringgit sebagai ‘legal tender’ dalam semua urusan yang melibatkan penggunaan Ringgit!
Hakikat sebenarnya ialah apabila kerajaan mengenakan perundangan legal tender terhadap rakyat sebagai alat pertukaran adalah suatu paksaan yang menyekat kebebasan rakyat daripada kebebasan dan keredhaan pihak yang ditawarkan Ringgit Malaysia menerimanya. Mereka tiada pilihan terpaksa menerima Ringgit. Perundangan legal tender memaksa sipenjual menerima pembayaran dengan Ringgit apabila sipembeli menawarkanya ! Jika sipenjual tidak mahu menerima Ringgit; perundangan legal tender berkuatkuasa! Sipenjual boleh diheret ke mahkamah dengan penolakan penerimaan pembayaran dengan Ringgit! Hakikatnya dengan memaksa perundangan legal tender keatas sipenjual; pihak kerajaan memaksa sipenjual yang TIDAK ADA PILIHAN melainkan MESTI MENERIMA Ringgit untuk perniagaan dan perdagangan yang mereka lakukan. Asas inilah yang bertentangan dengan Syariah Islam! Dalam hokum-hukum Muamalat Syariah Islam dalam perkara transaksi asas perdagangan dan perniagaan mahupun dalam apa jua pertukaran yang melibatkan alat-alat pertukaran; kedua-dua belah pihak – Sipenjual dan Sipembeli atau sipemberi dan Sipenerima BEBAS menentukan samaada setuju atau sebaliknya – menggunakan Ringgit atau sebarang jenis pertukaran yang kedua belah pihak setuju menerimanya!
Pun begitu, sangat perlu diambil perhatian; perundangan ‘legal tender’ ini tidak dapat menghalang kebebasan sipenjual daripada menerima selain Ringgit apabila ditawarkan oleh Sipembeli! Ini bererti, jika sipembeli ingin membeli setin susu dengan menawarkan jam tangan beliau; tiada suatu perundangan termasuk perundangan ‘legal tender’ yang dapat menghalang sipenjual daripada menerima jam tangan tersebut sebagai alat pertukaran! Sekali gus, jika sipenjual ditawarkan dengan koin-koin dinar atau dirham; perundangan ‘legal tender’ tidak dapat menghalangnya! Jika pihak Bank Negara Malaysia atau mana-mana pihak cuba menghalang sipenjual daripada menerima koin-koin dinar dan dirham yang ditawarkan oleh sipembeli ; tindakan ini adalah sesuatu yang dianggap strange atau pelik kerana tiada mana-mana Negara didunia hari ini mengimplimentasikan suatu perundangan yang memaksa rakyat mereka MESTI HANYA MENERIMA PEMBAYARAN DENGAN WANG-WANG NASIONAL NEGARA MASING-MASING SAHAJA! Kerana perundangan sebegini menyekat kebebasan asas dalam kehidupan sesaorang insan dimuka bumi ini dan semestinya dalam dunia hari ini yang mengamalkan kebebasan bersuara dll adalah suatu tindakan yang tidak adil dan diluar kemanusian asas! Ini bermakna PEMBELILAH YANG MESTI MEMBUAT TAWARAN DENGAN WANG DINAR DAN DIRHAM SUPAYA SIPENJUAL DAPAT TERLEPAS DARI JERAT ‘LEGAL TENDER’! Inilah juga ruang yang memungkinkan kita rakyat Negara kita khasnya untuk kita kembali menawarkan koin-koin dinar dan dirham dalam setiap transaksi urusan jual/beli Insya Allah! Maksudnya jika sipembeli menghulurkan selain Ringgit; sipenjual BOLEH dan BEBAS menerimanya tanpa melanggar perundangan legal tender!
Kebebasan umat Islam sebagaimana yang digariskan dalam perundangan Muamalah Syariah dalam transaksi perdagangan dan perniagaan adalah pada suatu istilah ‘aantarodhin minkum’ atau maksudnya ‘kedua belah pihak dalam transaksi tersebut mestilah redha meredhai’! Sipenjual redha menjual barangan nya dan redha serta bebas memilih sebarang alat pertukaran yang ditawarkan dan sipembeli redha menerima barangan yang ditawarkan serta bebas menawarkan alat pertukaran asalkan sahaja sipenjual setuju menerimanya!. Jika inilah asas antara sipenjual dan sipembeli dalam sesuatu perdagangan dan peniagaan, maka inilah hokum Syariah Muamalah Islam yang selama ini kita abaikan! Aneh! Tetapi impaknya amat ketara sekali kerana dengan adanya amalan legal tender yang dikenakan atas rakyat; kebebasan sipenjual yang terpaksa menerima Ringgit apabila ditawarkan adalah suatu paksaan yang melanggar hak asasi kemanusian dalam urusan perdagangan dan perniagaan sebenarnya.
Tahukah anda bahawa perkara kebebasan memilih alat penukaran ini – bererti sipenjual dan sipembeli atau sesiapa pun atas apa jua hajat kebutuhan menggunakan wang MESTILAH DIBERIKAN KEBEBASAN MEMILIH! Impak penyataan Syariah ini amat besar implikasinya dalam kehidupan ini! ‘AANTARODHIN MIN KUM’ bererti juga kerajaan Kelantan sebagai contoh TIDAK BOLEH MEMAKSA RAKYATNYA MEMILIH UNTUK HANYA MENGGUNAKAN DINAR DAN DIRHAM SAHAJA DALAM APA JUA URUSAN MEREKA!! Ini maksudnya! Jadi membawa kembali penggunaan wang-wang Syariah sepertimana yang dirancang oleh Kerajaan Kelantan adalah SUATU PILIHAN PENGGUNA atau RAKYAT dan HANYA MEREKA yang BOLEH MEMBUAT PILIHAN SAMAADA MAHU ATAU TIDAK MENGGUNAKANNYA….DALAM MUAMALAH ISLAM TIADA PAKSAAN ! Hatta rakyat bebas samaada mahu memilih Ringgit atau koin-koin dinar dan dirham dalam apa jua keadaan. Sekiranya Kerajaan Negeri Kelantan contohnya MEMAKSA RAKYATNYA MENERIMA KOIN-KOIN DINAR DAN DIRHAM INI ADALAH SUATU KESALAHAN DAN MELANGGAR HUKUM MUAMALAH SYARIAH ITU SENDIRI! Maka percayalah KERAJAAN KELANTAN TIDAK AKAN MEMAKSA RAKYATNYA dan TIADA CADANGAN UNTUK MEMBUAT PERUNDANGAN LEGAL TENDER KEATAS RAKYATNYA sepertimana yang gembar gempurkan oleh sesetengah pihak semasa pelancaran Dinar Kelantan pada hari yang bersejarah 20hb September 2006 dahulu! Penggunakan koin-koin dinar dan dirham dan edarannya sebagai wang yang sah didalam Syarak terletak dalam tangan rakyat Negeri Kelantan khasnya dan semua warga Malaysia amnya terutamanya kaum Muslimin dan Muslimat di Negara kita Malaysia tercinta ini sahaja! Insya Allah!
Dengan suatu ketentuan kaedah Syarak dalam Muamalah ‘Aan tarodhin min kom’ sahaja sudah Nampak betapa kesempunaan agama Islam ini kerana implkasi –redha meredhai antara kedua belah pihak ini bermakna pada penggertian yang lebih luas; adalah suatu FREEDOM atau kebebasan dari mana-mana pihak didalam negeri; Negara mahupun diperingkat antarabangsa ! Islam memahatkan bahawa PERKARA MATAWANG INI TERSANGAT PERLU DIBEBASKAN DAN BUKAN DIKONGKONG DAN PERLU DIKAWALSELIA OLEH SESIAPA PUN! Dalam konteks monetary hari ini; perkara inilah yang menjadi akal tunjang nya! Tahukah anda masyarakat dunia dan pihak yang ada kuasa hari sedang merancang untuk menyatupadukan semua maanusia supaya tunduk kepada pemilihan SATU MATAWANG sahaja ? Ia akan bermula dengan rancangan regional currencies kemudian akan seterusnya beraleh kepada satu matawang dunia kononnya demi mencapai kesejagatan ummah! Inilah rhetorika yang mereka dan semua pemimpin dunai hari ini termasuk Negara kita dalam menanggani kononnya krisis ekonomi dunia hari ini! Percayalah bagi kita umat Nabi Muhammad SAW; kita harus berpegang pada tali Allah SWT dan percaya HANYA Allah SWT dapat memandu kita mencapai kesejahteraan dunia dan akhirat dengan mengembalikan muamalah Syariah kita sepertimana amalan muslimin dan muslimat di sebuah negeri yang mendapat cahaya hidayah Allah SWT – AMALAN HIDUP PENDUDUK DI MADINATUL MUNAWWARAH sahaja yang mampu membawa penyelesaikan masaalah kita! Hanya Allah SWT sahaja yang kita sembah dan kepadaNYA sahaja kita mendaulatkan! ALLAH HU AKBAR!Bersambung…
Komen Keatas Artikel Ustaz Zaharuddin Abd. Rahman
Segala puji bagi Allah dan Salawat dan salam keatas junjungan besar Nabi Muhammad s.aw dan para sahabat r.anhum ajmain.
Saya ingin mengulas artikel UZAR dari laman web beliau yang bertajuk :
Punca Gawat & Matawang Emas Akan Gagal Jika …………
Ada dua pekara yang nampak difokuskan UZAR
1) Fungsi Matawang
2) Permainan FOREX pemusnah sistem matawang
Antara yg. disebut oleh UZAR dalam artikel beliau :
KEMBALIKAN FUNGSI ASAL MATAWANG
Imam Abu Hamid Al-Ghazali sejak 900 tahun dahulu telah menegaskan fungsi asal dan asas bagi matawang menurut perspektif Islam. Beliau berkata:
"Penciptaaan dirham dan dinar ( matawang emas dan perak) adalah benar-benar satu rahmat dari Allah ta'ala, kedua-duanya pada hakikatnya tiada nilai tersendiri yang boleh dimanfaatkan oleh manusia ( seperti untuk makan dan minum), tetapi akhirnya semua manusia memerlukannya disebabkan semua manusia memerlukan nilai suatu komoditi (barang) untuk ditukarkan bagi mendapatkan keperluan asasi makanan dan pakaiannya. Atas sebab itu, transaksi yang melibatkan pertukaran barangan antara satu sama lain tidak dapat dielakkan, Namun masalahnya, bagaimana untuk diukur nilai sesebuah barang dan ditetapkan harganya? Justeru keperluan itu, semua barangan keperluan ini memerlukan satu barang perantaraan yang boleh menjadi ukur rujuk bagi nilai. Maka itulah gunanya dinar dan dirham ini (wang emas dan perak), kedua-dua logam berharga itu akan menjadi ukuran nilai sesuatu barangan lain kerana KEDUANYA TIDAK MENJADI OBJEKTIF jual beli, ia hanya menjadi perantaraan, jika kedua menjadi OBJEKTIF seluruh system ekwangan akan ROSAK DAN TERGANGGU. Kerana itulah Allah menciptankannya, melalui perantaraannya, pertukaran barangn kepelruan yang menjadi sasaran dan oibjektif jual beli akan terjamin keadilannya."
Dari penerangan Imam Al-Ghazzali ini, jelas pendirian ekonomi Islam berkenaan matawang tidak kira ia dari jenis emas, perak atau kertas fiat adalah:-
a) Matawang mestilah hanya sebagai perantara bagi tranksaksi jualbeli komoditi sebenar sahaja dan ia sendiri BUKAN komoditi.
b) Matawang mesti menjadi panduan ukuran nilai sesuatu barang keperluan.
Kedua-dua syarat di atas saling berkait, tanpa salah satu, ia akan gagal menjadi matawang yang dikehendaki oleh Islam.
Komen saya:
1. Imam Ghazali hanya menyebut kenapa emas dan perak menjadi pilihan sebagai pengukur nilai, beliau tidak menyebut lansung tentang wang fiat. Mengaitkan Imam Ghazali dengan wang fiat adalah satu kesilapan besar. Dengan mengatakan wang fiat adalah sebahagian daripada ekonomi Islam adalah kesilapan yang sangat ketara.
2. Mengatakan matawang hanya perantara dan bukan komiditi adalah satu kesilapan. Jualbeli atau al ba’i pada hakikatnya adalah al muqabalatu ainan bi ainin au malan bi malin. Iaitu pertukaran (exchange) antara barang dengan barang atau pun harta dengan harta pada wajah yang tertentu. Emas dan perak adalah barang ( ain) dan harta (mal). Pertukaran harus berlaku antara satu barang dengan barang yang lain, seperti emas dengan kambing, perak dengan ayam atau tembaga dengan baju atau sebagainya, tetapi sahnya jual beli atau riba sesuatu aqad bergantung pulak pada barang – barang yang ditukar itu termasuk barang – barang ribawi seperti emas, perak dan makanan. Dalam sejarah Islam, syiling emas dan perak disebut sebagai nuqud manakala syiling tembaga atau logam yang lain disebut sebagai fulus. Logam – logam ini digunakan dalam jualbeli. Hakikatnya ia adalah sistem barter, BARANG DITUKAR DENGAN BARANG. Imam Malik r.a. mengatakan bahawa wang atau perantara jual beli ialah sebarang barang (komoditi) /harta /ain yang bebas dipilih oleh manusia dalam transaksi. Emas, perak, tembaga, kertas apa sahaja boleh digunakan untuk tukaran barang, tetapi mesti tertakluk pada aqad – aqad yang tidak ribawi. Kalau kita menukar 1 kilo kertas surat khabar dengan ½ kilo bawang misalnya, sah jualbeli. Kertas adalah barang dan bawang juga barang. Wang kertas Fiat sekarang bukan barang, ia hanya mewakili hutang (debt), kita perlu bertanya daripada mana wang fiat ini dicipta, bagaimana pulak ia diberi nilai, atas dasar apa, disandarkan atas apa ???? apa makna 1 dolar, apa makna pulak wang kertas sah dipernilaikan dengan RM 10, apa makna RM 10 , siapa yang memberi nilai... Apa dimaksudkan Imam Ghazali ialah emas dan perak dijadikan pengukur kepada barangan lain. 1 dinar ialah 1 mithqal emas yang beratnya 4.25 gram, 1 dirham pulak 2.975 gram kerana mengikut Saidina Umar Al Khattab r.a. nisbah berat antara dinar dan dirham ialah 7 :10. Kamu letak 7 dinar disebelah dacing , kamu akan dapat menimbangnya dengan 10 dirham. Ini bukan exchange rate, tetapi penentuan berat antara dinar dan dirham. Jadi dengan berat emas 4.25 gram , kamu akan dapat seekor kambing dan dengan perak seberat 2.975gram kamu akan dapat seekor ayam. Imam Ghazali menyebut emas dan perak menjadi pengukur nilai pada beratnya emas atau perak bukan nilai yang sengaja diletakkan sesuka hati. Ini kerana fulus (wang selain emas dan perak) terdedah kepada ‘kasad’ yakni pemberhentian penggunaannya sebagai wang apabila pemerintah membatalkan harganya sehingga ia menjadi barang dagangan biasa atau tembaga biasa. Keadaan ini berlaku pada wang fiat hari ini kerana ia terdedah kepasa kasad berbeza dengan emas dan perak yang akan terus diterima manusia sebagai harga walaupun dalam bentuk serbuk sekalipun.
Adapun kedudukannya sebagai barang ribawi ini perlu perhatian lanjut kerana illah riba emas dan perak adalah ‘harga yang ghalib’ yakni diterima manusia setiap tempat dan zaman sebagai harga dan ditentukan dengannya ganti rugi barang dan sebagainya dan amat jarang berlaku نادرة الوقوع akan ada manusia menolak emas dan perak sebagai harga barang atau ganti rugi kepada barangnya yang rosak.
Imam al-Nawawi r.a berkata: Maksudnya:
“Apabila fulus itu laku seperti lakunya nuqud (emas dan perak) tidak haram padanya riba inilah yang sahih dinaskan dan dengannya dipastikan musannif (al-Syirazi) dan Jumhur(al-Syafiiah) dan padanya terhadap satu wajah syaz ianya haram diriwayatkan al-Khurasaniyyun (daripada Ashab al-Syafiiah)”. [al-Majmuk, 9/395].
Lakunya wang hari ini juga tidaklah ghalib kerana Ringgit Malaysia hanya diterima di Malaysia sahaja, Riyal Saudi hanya laku di Saudi, dan Dolar Amerika diterima di Amerika Syarikat sahaja. Jika kita membeli daripada orang awam barangan dengan Ringgit Malaysia di Amerika Syarikat , mereka tentu tidak akan menerimanya. Maka wang hari ini bukanlah harga yang ghalib dan atas dasar pandangan ini ia bukanlah barang ribawi.
Seterusnya Fractional Reserve Banking pada hakikatnya ialah mencipta wang atas angin.
Seterusnya UZAR menyambung :
Dalam bahasa mudahnya, emas dan matawang sendiri dijadikan sebagai objektif dalam sesuatu transaksi jualbeli, ia sepatutnya hanya menjadi perantara namun kini, fungsinya telah disalahgunakan sehingga menjadi barang jualan dan akhirnya menyebabkan nilainya tidak lagi stabil (fluctuate). Ini mencacatkan fungsinya yang sepatutnya dijadikan sandaran atau ukuran bagi nilai komoditi lain.
Matawang yang dijadikan sandaran nilai sepatutnya mempunyai nilai yang hampir tetap, tidak terlalu banyak berubah dan bergerak. Hanya dengan itu, inflasi dapat dikawal dan jualbeli menjadi stabil dan keadilan tersebar.
Namun apabila matawang hari ini di jadikan komoditi, nilai sendiri tidak terkawal. Selain melihat nilai matawang kertas, cuba lihat juga nilai emas hari ini, bukankah ia juga turun naik dengan agak kerap..itu tanda emas yang wujud hari ini diperlakukan secara salah oleh manusia.
Atas sebab itu, hatta jika hari ini kita sibuk menginginkan emas untuk dijadikan matawang, namun dengan sikap dan attitude yang menggangap matawang sebagai komoditi, emas dan perak itu sendri pun akan gagal berfungsi sebagai matawang yang diinginkan oleh Islam.
Komen saya :
Masalah emas dan perak dijadikan komoditi bukanlah masalah dinar dan dirham sebenarnya. Masalahnya ialah wang fiat itu sendiri. Emas dan perak diukur dengan wang fiat ,pada hal wang fiat yang sebenarnya tiada nilai. Untuk menyamakan dinar dan dirham, dengan mata wang fiat lain, RM, dollar, Euro dan sebagainya dalam permainan FOREX adalah satu kesilapan. Dinar dan dirham berfungsi dalam ekonomi sebenar (Real Economy) bukannya ekonomi kewangan (financial economy) seperti Perbankan Wang Fiat - Fractional Reserve Banking, Permainan Saham, Insuran, Deravatif atau rakan rakan seangatannya. Dinar dan dirham adalah untuk pertukaraan dan pengedaran. Maaf cakap, Dinar dan dirham tidak ada kena mengena dengan usaha kamu untuk mengislamkan Bank, Insuran, Bursa Saham dan deravatif.
Selanjutnya beliau berkata :
Sebab itulah, perlu difahami, kejayaan menjadikan emas sebagai matawang belum boleh dianggap satu kejayaan mengislamkan ekonomi sama sekali, malah masih amat jauh. Malah, apa yang lebih perlu diperbetulkan adalah sikap, kefahaman dan system regulasi kewangan dunia hari ini.
Sistem matawang emas dan perak ini pun bukanlah diperkenalkan oleh Rasulullah, malah ia telah wujud sebelum dari kebangkitan Rasulullah. Islam menerima pakai dua logam berharga itu sebagai matawang dan hanya mampu di "ISLAMKAN' apabila syarat-syarat urusniaga matawang yang digariskan oleh baginda Nabi DIPENUHI. Justeru, hanya memperjuangkan matawang emas bukan segala-galanya bagi sebuah ekonomi dan kewangan Islam.
Justeru, janganlah ada yang menyangka bahawa system kewangan Islam akan hanya menjadi benar-benar Islam apabila menggunakan emas dan perak sebagai matawang. Tidak semudah itu. Malah dengan fiat money ini juga system kewangan Islam mampu dicapai jika regulasi dan pengurusan matawang berjaya direfomasikan kepada cara yang betul, sama ada cara ia dikeluarkan, edaran, kawalan dan penggunaannya.
Komen saya :
Ibn Sina pernah berkata :-
Ini adalah dari hikmah yang dikurniakan Allah pada dua jenis logam ini (emas dan perak) dan kesukaran menemuinya (scarcity) sehingga itu ia mampu menjadi penyandar nilai usaha manusia (sebagai perolehan dan matawang),..maka jikalau boleh sifat kedua-duanya (emas dan perak) itu diperolehi dengan mudah (secara tidak hakiki seperti apa yang ada pada matawang fiat kertas), maka akan terbatallah hikmah penciptaannya oleh Allah, dan banyaklah yang boleh memilikinya sehingga menyimpannya(memilikinya) tidak sebarang erti.
Emas dan perak digunakan sejak zaman rasul rasul terdahulu, ini kita dapat lihat bagaimana Allah swt menceritakan kepada kita bagaimana Nabi Yusof a.s. dijual dengan beberapa dirham sahaja ( bidarahim). Dinar dan dirham adalah langkah pertama untuk keluar dari penjara kapitalisme , selagi kita berada dalam dunia wang kertas selagi itu kita masih terpenjara dengan krisis nilai. Bagaimana US dollar yang hanya dicetak atas angin ditukar dengan barangan – barangan yang bernilai seperti minyak, getah , kelapa sawit , makanan dan lain – lain . Ini bukan ekonomi Islam , ini adalah rompakan sebuah Negara besar keatas Negara kecil. Apa hokum jualbeli beli sedemikian ? . Dengan mengatakan dengan Fiat Money, keadilan juga dapat dicapai adalah seperti bermimpi disiang hari. Saya tidak tahu kenapa UZAR beriya iya benar mempertahankan wang kertas. Guru guru beliau kebanyakannya dari Timur Tengah dan Pakistan adalah dari aliran ekonomi moden, mewarisi fahaman Abduh dan Jamaludin Afghani. Benci kepada kapitalis barat tetapi pada masa yang sama sangat mengkagumi sistem barat. Mereka tidak faham agenda terselindung kapitalis, malah mereka diperangkap untuk mempertahankan sistem kapitalis atas nama Islam.
copy from dinar2dirham
Khamis, 25 Februari 2010
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan