Rabu, 24 November 2010

KUASA BELI KITA MEROSOT

Kerajaan diminta melihat secara serius kemerosotan kuasa membeli di kalangan rakyat Malaysia yang semakin membimbangkan di tengah-tengah kejatuhan dolar Amerika Syarikat (AS) , sedangkan penyusutan mata wang paling berpengaruh di dunia itu sepatutnya memberi faedah kepada nilai ringgit.

Pengurus Kanan Kumpulan TA Investment Bhd., Alsetdek Al Haj Ali berkata, ini kerana penurunan kuasa beli itu menjadi petunjuk kepada ketidak seimbangan ekonomi, kemajuan dan kemakmuran dalam sesebuah negara.

Beliau berkata, Malaysia menggunakan indeks inflasi yang terdiri daripada barangan kawalan dalam menentukan kestabilan ekonomi negara sedangkan kuasa beli adalah petunjuk sebenar.

Menurut beliau, secara rasionalnya apabila nilai ringgit meningkat, sepatutnya keupayaan untuk berbelanja di kalangan rakyat Malaysia lebih besar.

Bagaimanapun, katanya, keadaan itu tidak berlaku, sebaliknya kemerosotan kuasa beli semakin terjejas sejak kebelakangan ini.

”Persoalannya mengapa rakyat kita tidak dapat menikmati kelebihan kenaikan nilai ringgit berbanding dolar AS dalam kuasa beli?.

”Jadi, mengapa kita perlu gembira apabila kejatuhan nilai mata wang, walhal nilai ringgit semakin tidak dirasai,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Beliau berkata, tahap kuasa beli di Malaysia terlalu berbeza berbanding di Amerika Syarikat kerana sekurang-kurangnya rakyat negara itu masih berpeluang membeli lebih banyak barang di pasar raya walaupun nilai mata wangnya menyusut.

”Sepatutnya kuasa membeli di kalangan rakyat AS lebih sukar kerana mata wang mereka tidak memberi apa-apa makna, tambahan pula negara itu adalah negara pengimport tetapi mengapa mereka terus menikmati kuasa membeli?

”Jawapannya adalah model ekonomi negara itu jauh berbeza dengan Malaysia walaupun kita dalam proses ke arah itu.

”Di negara maju, lebih banyak rakyat berbelanja bagi barang tertentu, lebih murah harganya tetapi di Malaysia lebih banyak barangan tertentu dibeli, harganya boleh meningkat. Itu bezanya dan ia perlu diberi perhatian oleh kerajaan,” katanya.

Sebab itu, katanya. rakyat Singapura masih boleh menikmati harga teh tarik S$0.80 secawan pada nilai mata wang mereka tetapi di Malaysia harga bagi minuman itu terus meningkat daripada RM1.00 kepada RM1.50 hingga RM1.80.

Singapura masih mampu mengekalkan nilai mata wangnya kerana strategi monetari negara itu yang meningkatkan dolar Singapura.

”Sebab itu, walaupun berlaku kenaikan dalam dolar Singapura, kuasa membeli di kalangan rakyatnya tidak terjejas, seperti di AS, tambahnya.

Berikutan itu, katanya, kerajaan perlu mengatasi masalah ini dengan segera kerana sekiranya dibiarkan ia boleh mengundang kepada ketidakstabilan ekonomi isi rumah tempatan.

Tegas beliau, kerajaan sepatutnya turut melakukan pemantauan barangan bukan kawalan yang sebenarnya menjadi barangan asas keperluan dapur, selain barangan kawalan.

Jelasnya, ia penting kerana barangan asas yang diperlukan untuk menjalani kehidupan seharian telah menunjukkan peningkatan melebihi 100 peratus.

”Kalau dibandingkan dengan tepung, berapa banyaklah yang digunakan oleh isi rumah berbanding keperluan seperti sabun mandi dan sabun basuh,” ujarnya.

”Tiada ada gunanya kita bersorak kerana nilai ringgit lebih tinggi berbanding dolar AS, jika nilai ringgit tidak membawa apa-apa makna kepada rakyat.

Katanya, dengan pendapatan sebanyak RM3,000 dan tinggal di Kuala Lumpur, jumlah gaji itu sudah tidak memberi sebarang makna kepada pekerja.

Sebaliknya, dengan gaji tersebut, pekerja yang tinggal di Kuala Lumpur boleh dikategorikan sebagai penduduk miskin kerana kos hidup yang tinggi dan penyusutan kuasa membeli.

”Apa yang anda boleh beli dengan RM100 di pasar raya sekarang kerana harga ikan pun sudah berbelas ringgit untuk setiap kilo, begitu juga dengan sayur, hampir semua barang naik,” katanya. – KUALA LUMPUR 7 Nov | Utusan Online.

copy dari emaskini.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan